Selepas penafian demi penafian dibuat oleh pihak kerajaan berhubung tawaran untuk menjalin kerjasama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan pelawaan itu bukanlah dibuat baru-baru ini.
Sebaliknya, kata Abdul Hadi, tawaran yang diajukan kepadanya – sebagai wakil kepada PAS – untuk menyertai kerajaan dibuat selepas berakhirnya pilihan raya umum (PRU) ke-15 tahun lalu.
Dia juga menegaskan tiada tawaran yang dibuat kepadanya selepas itu.
“(Tawaran sertai kerajaan dibuat) Selepas pilihan raya. Yang terbaru tak adalah,” katanya.

Ahli parlimen Marang itu berkata demikian semasa menjawab soalan media selepas menghadiri program Terengganu International Summit (TIS) di Kuala Terengganu, hari ini.
Terdahulu Abdul Hadi ditanya mengenai perkembangan terbaru berhubung isu pelawaan yang didakwa dibuat pihak kerajaan untuk bekerjasama dengan PAS.
Menegaskan sekali lagi kerajaan sekarang bukan kerajaan perpaduan, Abdul Hadi turut menegaskan PAS tidak akan menerima tawaran berkenaan.
Sebaliknya kata bekas duta khas perdana menteri itu, PAS akan kekal bersama dengan parti pembangkang lain dalam PN serta mengajak parti lain untuk menyertai gabungan berkenaan atas alasan mereka mempunyai “kekuatan” berbanding yang lain.
“Kita (PAS) menolak (tawaran sertai kerajaan perpaduan). Kita akan terus dengan PN dan kita mengajak pihak yang lain bersama kita kerana kita mendominasi rakyat, jadi kekuatannya pada kita,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mendakwa dia beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Dia yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, tawaran itu muncul kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukan mereka tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan tersebut dan meminta Abdul Hadi supaya “tidak perasan” kononnya ada orang menawarkannya untuk sertai kerajaan perpaduan.

Selain Ahmad Zahid, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menafikan bahawa dia atau mana-mana pimpinan kerajaan ada membuat tawaran seumpama itu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi melahirkan keyakinan bahawa PAS akan kekal mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah selepas pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Malah, katanya, dengan gelombang yang ditunjukkan rakyat pada PRU lalu, PAS juga yakin mampu menawan Selangor daripada PH.
“Saya lihat prestasi yang dicapai oleh negeri yang kita perintah ini sangat menarik.
“Kita lihat gelombang rakyat ini berlaku, dalam pilihan raya lalu. Gelombang rakyat menolak parti lain dan menyokong kita dan gelombang ini masih ada sehingga hari ini khususnya di kalangan pengundi mud“Selangor juga begitu kerana kita menang beberapa kerusi, kerusi Parlimen kita menang dan insya-Allah akan diikuti dengan DUN,” tambahnya.
PRN membabitkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka akan diadakan antara Jun atau Julai ini selepas DUN masing-masing dibubarkan.
Tawaran PAS sertai kerajaan bukan dibuat baru-baru ini (malaysiakini.com)
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.